Soalan Lazim (FAQ)
Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan Secara Sekali Beri (One-Off) RM500 kepada Pelajar Baharu IPTA Tahun 2026.
Apakah yang dimaksudkan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan ini?
Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan merupakan bantuan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 yang disediakan kepada pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang merangkumi Universiti Awam dan Politeknik Premier Tahun 2026 yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Siapakah yang layak menerima Bantuan Khas ini?
Bantuan Khas ini terbuka kepada pelajar baharu yang merupakan warganegara Malaysia, telah bersetuju menerima tawaran pengajian di Universiti Awam melalui UPUonline atau Politeknik Premier di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi kemasukan September dan Oktober 2026 sahaja, serta perlu melakukan perjalanan udara domestik merentas wilayah antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tujuan pendaftaran pengajian, seperti yang berikut:
- berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan, berdasarkan alamat tetap, dan akan melanjutkan pengajian di Universiti Awam atau Politeknik Premier di Semenanjung Malaysia;
- berasal dari Semenanjung Malaysia, berdasarkan alamat tetap, dan akan melanjutkan pengajian di Universiti Awam atau Politeknik Premier di Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan;
- berasal dari Sabah, berdasarkan alamat tetap, dan akan melanjutkan pengajian di Universiti Awam atau Politeknik Premier di Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan;
- berasal dari Sarawak, berdasarkan alamat tetap, dan akan melanjutkan pengajian di Universiti Awam atau Politeknik Premier di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan; atau
- berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan, berdasarkan alamat tetap, dan akan melanjutkan pengajian di Universiti Awam atau Politeknik Premier di Sabah atau Sarawak.
Berapakah jumlah Bantuan Khas yang akan diterima?
Setiap pelajar yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima Bantuan Khas sebanyak RM500 secara sekali beri (one-off).
Bagaimanakah saya boleh menyemak kelayakan bagi menerima Bantuan Khas ini?
Pelajar boleh membuat semakan status kelayakan melalui microsite rasmi Kementerian Pengangkutan di bantuansiswa.mot.gov.my mulai 17 September hingga 31 Oktober 2026.
Apakah dokumen yang perlu dikemukakan oleh pelajar yang layak?
Pelajar yang layak hendaklah memuat naik dokumen berikut melalui microsite:
- Surat Setuju Terima Tawaran Universiti/ Politeknik;
- Salinan Kad Pengenalan; dan
- Penyata akaun bank atau salinan buku akaun bank yang aktif dan atas nama pelajar.
Bagaimanakah Bantuan Khas ini akan disalurkan?
Bantuan Khas akan disalurkan secara terus ke akaun bank pelajar yang layak setelah semua maklumat dan dokumen yang diperlukan disemak dan disahkan lengkap dan sah oleh Kementerian Pengangkutan.
Bilakah bayaran Bantuan Khas akan dibuat?
Pembayaran Bantuan Khas akan dilaksanakan setelah maklumat dan dokumen yang diperlukan diterima, disemak dan disahkan lengkap serta sah oleh Kementerian Pengangkutan.
Apakah yang akan berlaku sekiranya dokumen atau maklumat yang dikemukakan tidak lengkap?
Sekiranya maklumat atau dokumen yang dikemukakan didapati tidak lengkap atau memerlukan pembetulan, permohonan berkenaan akan dikembalikan kepada pelajar untuk tindakan pembetulan atau pengemaskinian melalui microsite.
Pelajar hendaklah memastikan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dikemukakan dengan lengkap, tepat dan jelas bagi melancarkan proses semakan dan pembayaran. Kegagalan mengemukakan maklumat atau dokumen yang lengkap dalam tempoh yang ditetapkan boleh menjejaskan kelulusan dan pembayaran Bantuan Khas.
Adakah saya boleh menggunakan akaun bank ibu, bapa, atau pihak lain untuk tujuan penyaluran bantuan ini?
Tidak boleh. Pelajar hendaklah mengemukakan penyata akaun bank atau salinan buku akaun bank yang aktif dan atas nama pelajar sendiri. Akaun bank milik ibu, bapa, penjaga, rakan atau mana-mana pihak lain tidak dibenarkan bagi tujuan penyaluran Bantuan Khas ini.
Bilakah tarikh akhir untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan?
Tarikh akhir untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan melalui microsite ialah 31 Oktober 2026.
Pelajar adalah dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan dan dokumen sokongan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam proses semakan dan pembayaran.
Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya menghadapi masalah semasa membuat semakan atau mengemukakan dokumen?
Sekiranya menghadapi sebarang masalah atau memerlukan penjelasan lanjut berkaitan semakan kelayakan, pengemukaan dokumen atau urusan Bantuan Khas ini, pelajar boleh mengemukakan pertanyaan atau aduan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui e-mel flysiswacares@mot.gov.my.